FAQ (Soalan Lazim)

APAKAH PERANCANGAN BANDAR ?

Perancangan Bandar dikenali sebagai ?Perancangan fizikal? atau ?perancangan kegunaan tanah?. Dengan lain perkataan ianya adalah satu seni dan sains dalam membentuk pertumbuhan dan pembangunan fizikal, social dan ekonomi kawasan-kawasan Bandar dan juga luar bandar.

SIAPAKAH YANG BERTANGGUNGJAWAB DALAM MERANCANG BANDAR ?

Di Semenanjung Malaysia, Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri sama-sama bertanggungjawab ke atas perancangan bandar dan desa, di mana Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Semenanjung Malaysia berfungsi memberi nasihat secara menyeluruh ke atas dasar-dasar perancangan negara kepada semua Kementerian, Jabatan Kerajaan dan separa Kerajaan. Manakala Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri berfungsi untuk memberi nasihat kepada Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan di negeri masing-masing di samping mengawal pembangunan.

AKIBAT TANPA PERANCANGAN

Bandar dan desa akan tumbuh dengan tidak terkawal menyebabkan kegunaan tanah tidak optimum dan berlakunya percanggahan fungsi gunatanah. Maka dengan itu, wujudlah satu persekitaran masyarakat yang tidak selesa dan harmoni.

APA DIA RANCANGAN PEMBANGUNAN ?

Rancangan Pembangunan terdiri daripada Rancangan Struktur, Rancangan Tempatan, Rancangan Pembangunan Daerah dan Rancangan Desa.

APAKAH RANCANGAN STRUKTUR ?

Merupakan satu penyertaan bertulis yang mengemukakan dasar-dasar dan cadangan-cadangan am mengenai pemajuan gunatanah termasuk langkah-langkah mengawal alam sekitar dari segi fizikal, perhubungan dan lalulintas bagi jangkamasa 15 hingga 20 tahun.

APAKAH RANCANGAN TEMPATAN ?

Merupakan suatu pelan terperinci yang menterjemahkan polisi-polisi dan cadangan-cadangan yang terkandung dalam Rancangan Struktur. Ia menunjukkan secara bersekil besar tatatur pembangunan bagi suatu kawasan yang dilengkapi dengan pernyataan bertulis untuk menerangkan dasar-dasar dan butir-butir lanjut mengenai pembangunan tersebut.

APAKAH RANCANGAN PEMBANGUNAN DAERAH ?

Merupakan satu dokumen yang mengandungi strategi-strategi dan cadangan-cadangan pembangunan daerah termasuk program dan projek yang dikenalpasti.

LAPORAN RANCANGAN PEMAJUAN (LCP)

Adalah satu laporan yang dikehendaki disediakan mengikut peruntukan Seksyen 21A, Akta Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan)1995, yang perlu dikemukakan bersekali dengan pelan tatatur yang dikemukakan samada untuk permohonan tukar syarat, pecah sempadan atau mendirikan bangunan di mana yang berkaitan. Ianya membentangkan asas-asas perancangan, rasional-rasional dan justifikasi yang dapat mengukuhkan kesesuaian cadangan-cadangan pemajuan. Juga dapat membantu kelicinan proses pertimbangan oleh Pihak Berkuasa Kerajaan terhadap permohonan yang dikemukakan.

KEBENARAN MERANCANG

Kebenaran Merancang hendaklah diperolehi daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sebelum sesuatu pemajuan dapat dimulakan mengikut seksyen 19. Permohonan mendapatkan Kebenaran Merancang hendaklah mengikut bentuk dan mengandungi butir-butir, dan disertakan dengan dokumen-dokumen dan pelan-pelan yang ditetapkan oleh PBT sebagaimana diperuntukan mengikut seksyen 21 (1). Seksyen 21 (3) berkehendakkan supaya jika permohonan melibatkan pendirian bangunan, maka PBT boleh mengarahkan pemohon mengemukakan butiran-butiran seperti aras tapak bangunan, ketinggian dan anjak belakang bangunan dan sebagainya.

SIAPAKAH PIHAK BERKUASA PERANCANG TEMPATAN ANDA ?

Setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) ialah pihak berkuasa yang ditubuhkan bawah undang-undang termasuk Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171). Subseksyen 5(1) Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172) memperuntukkan kuasa kepada PBT untuk menjadi pihak berkuasa perancang tempatan (PBPT). Ini bermaksud mana-mana PBT seperti majlis daerah, majlis perbandaran, majlis atau dewan bandaraya atau mana-mana perkataan lain yang bermaksud ia sebagai PBT adalah PBPT dalam kawasan pantadbirannya. Subseksyen 5(2) memperuntukkan bagi kawasan diluar sesebuah PBT, Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Negeri ialah PBPT bagi kawasan tersebut.

APAKAH PERANAN AWAM DALAM PENYEDIAAN RANCANGAN PEMAJUAN ?

Penyertaan Awam merupakan satu proses yang penting dalam perancangan bagi memastikan rancangan pemajuan seperti rancangan struktur (RS) dan rancangan tempatan (RT) dapat memenuhi hasrat dan pandangan masyarakat umum.

APAKAH LEMBAGA RAYUAN ?

Lembaga Rayuan berfungsi untuk memberikan peluang kepada seseorang untuk mengemukakan rayuan sekiranya merasa terkilan atau tidak berpuas hati dengan pihak berkuasa perancang tempatan (PBPT) untuk pertimbangan semula keputusan tersebut kepada Lembaga Rayuan.