KEBENARAN MERANCANG

PENGENALAN

Merujuk kepada subseksyen 2(1) Akta 172, kebenaran merancang (KM) adalah kebenaran yang diberikan dengan atau tanpa syarat untuk menjalankan pemajuan. “Menjalankan pemajuan” disini bermaksud, sebarang tindakan pembangunan termasuk kerja-kerja yang memerlukan kelulusan di bawah lain-lain Akta. Bagi mendapatkan KM, pemohon perlu mengemukakan permohonan kepada PBPT dan disertakan dengan pelan susun atur, penjelasan penggunaan tanah atau bangunan yang dicadangkan dan dokumen sokongan yang diperlukan oleh PBT.

 
LARANGAN TERHADAP PEMAJUAN TANPA KEBENARAN MERANCANG

Keperluan bagi mendapat Kebenaran Merancang adalah diperuntukkan di bawah Seksyen 19(1), Akta 172 iaitu :-

“Tiada seorang pun, lain daripada pihak berkuasa tempatan, boleh memula, mengusaha atau menjalankan apa-apa pemajuan melainkan kebenaran merancang berkenaan dengan pemajuan itu telah diberikan kepadanya di bawah Seksyen 22 atau dilanjutkan di bawah Seksyen 24(3)”

Semua pemajuan hendaklah memperolehi kelulusan kebenaran merancang daripada Pihak Berkuasa Perancang Tempatan. Jika pemajuan dijalankan tanpa kebenaran merancang atau pemajuan dijalankan berlawanan dengan kebenaran merancang, pemunya boleh disabitkan kesalahan di bawah Sekyen 27 dan Seksyen 28 Akta 172. Hukuman yang boleh dikenakan adalah mengikut Subseksyen 26(1), iaitu denda tidak melebihi lima ratus ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.